memo

Semuanya hanya kerana secebis nota.

***

       Terselamat daripada cubaan membunuh diri bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Tidak langsung. Setelah beberapa kali, tetap itu bukanlah perkara yang paling diharapkan. Tambahan pula, akan ada perkara-perkara lain yang akan timbul selepas itu. Misalnya, orang-orang akan mula memandang kau dengan pandangan seperti engkau berjalan di tengah pasar tanpa memakai seluar. Atau paling tidak pun, suasana orang ramai rancak berbual tiba-tiba senyap seperti, apa orang selalu kata? Ada malaikat lalu? Tapi kau sedar, yang kau bukan pun malaikat. Bukan jauh panggang dari api dah, tapi jauh panggang dari api kampung sebelah. Okay, tak kelakar.

Itulah dia. Itulah apa yang aku alami. Walau pun perkara cubaan bunuh diri itu berlaku empat bulan yang lalu. Kalau mahu menjadi terkenal dalam kampus dengan tiba-tiba, sampai dari pak cik jaga ke mak cik cleaner ke librarian pun boleh kenal, boleh tahu tentang diri kau, walau kau tak pernah jejak kaki ke library, buatlah seperti aku.  Berani buatlah. Dah cukup hidup? Eh!

Dah cukup hidup.

Dah puas hidup.

Dah yakin masuk Syurga.

Ada banyak lagi ayat-ayat yang lain yang aku terpaksa tadah selepas kejadian tu. Tapi bila dirangkulkan semua, dapatlah sama maksud dengan tiga ayat di atas.

Kecuali ada satu.

Secebis nota.

Sedang elok aku bukakan mata selepas terlantar di hospital untuk tiga hari, nota itu yang pertama sekali aku lihat. Untuk makluman, ya, tiada siapa yang datang melawat aku pun selama tiga hari itu. Ahli keluarga? Tak payah. Aku tak harap pun.

Kembali kepada nota tadi. Nota yang sehingga kini aku tidak tahu siapa pengirimnya. Nota yang sampai sekarang aku tidak tahu apa maksud disebaliknya. Nota yang masih ada dalam dompet aku dan aku bawa ke mana-mana jua aku pergi.

Nota bernombor.
***


Tiada apa yang baharu berlaku pada aku. Melainkan aku menjadi popular.

Hidup aku masih sama seperti hari-hari lalu aku. Tiada kawan. Ponteng sesi kaunseling. Ada group assigment, tapi aku tak pernah ada dalam mana-mana perjumpaan kumpulan. Maaf ya, bukan aku yang mengelak. Mereka yang mengelak. Mereka dengan baik hatinya rela menyelesaikan semua bahagian kerja yang sepatutnya aku lakukan. Tak peduli.

Selepas empat bulan, dan entah kenapa aku pilih hari ini. Hari yang dengan sedikit takjubnya, kerana pertama kali aku jejakkan kaki ke library. Tujuan cuma mahukan wifi percuma. Dan lebih laju sedikit. Abah aku mungkin lupa bahawa dia ada seorang anak perempuan yang perlu dia tanggung makan minumnya atau kata lain, bagi duit tiap-tiap bulan. Selepas dia ‘tolong’ bayarkan bil hospital dan kemudian pergi begitu sahaja, aku tak nampak dia dah. Walau dalam mimpi. Jadinya, aku sedang kekurangan sumber wang. Aku perlu jimat. Inilah salah satu caranya. Buka internet dengan wifi library. Pada masa yang sama, dapat lah librarian yang sebelum ini hanya tahu nama dan berkata belakang aku melihat wajah sebenar aku. Tahniah untuk mereka.

Hari ini setelah empat bulan aku pertama kali melihat nota bernombor. Hari ini, aku mengambil keputusan untuk tahu apa maksud disebalik nombor itu. Nombor yang, aku rasa macam deja vu.

[55:77]

Tak ada rasa macam kenal ke nombor ni?

“Ya Allah!”

Kaku. Jari-jari aku kaku semuanya. Beku. Masa seolah-olah beku.

Aku terkedu.

Bukan kerana apa yang terpampang di skrin PC. Bukan. Tapi kerana apa yang telinga aku dengar. Telinga aku memang tak silap dengar. Betapa. Betapa telah lama aku tak menutur kalimah itu.

Ya Allah!

Hati aku mengulang lagi. Benar. Itu yang terlancar keluar dari mulut aku. Dada aku tak dapat menahan. Betapa lajunya degup jantung. Tak mampu. Tak tertampung rasanya.

Ya Allah!!!




Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?

Comments

Popular posts from this blog

[170]

[81]

[74]