1.10.26

[519]

Penuh. 
Penuh dua-dua tangan.
Menimbun sampai tutup pandangan. 

Sepuluh jari semua penuh. 
Setiap sepuluh jari berderet menjinjing beban. 

Penuh. 
Jadi tak tahu nak lepaskan yang mana satu. 

Jadi tak boleh berjalan sebab satu langkah kaki, 
berlanggar dengan beban yang dijinjing. 
Jadi tak boleh berjalan sebab tertutup pandangan mata, 
terhalang dengan yang menimbun dalam tangan. 

Penuh. 
Tak boleh bernafas.

24.9.26

[518]

Bila kau menulis, kau tinggalkan jejak. 
Bukti untuk masa hadapan. 
Dan memori ketika kau menulis. 

Tulisan-tulisan kau bawa kau kembali pada masa lampau. 

Kau menulis untuk bantu keluar dari keadaan yang menyakitkan. 
Dan tulisan kau tadi juga bawa kau kembali merasa sakit 
setelah kau jauh maju ke depan. 

Ironinya. 

Kembali merasa sakit kerana engkau seorang sahaja yang tahu benar 
inti dibalik tulisan-tulisan kau dahulu.



Ah, aku patut lebih banyak tulis yang indah-indah. 

11.8.26

[517]

Untuk kembali menjadi tiang-seri
Menyokong rapuhnya rumahmu
Seperti tiga tahun lalu
Aku dah tak mampu 

Untuk kembali menawarkan senyum
Kerana tak mahu membebankan hibamu
Seperti tiga tahun lalu
Aku dah tak mampu 

Tiap hujung malam, bawah lampu padam
Dalam gelap, seorang-seorang
Dan masih mengesat laju air mata dari jatuh terus
Berpura sebegitu lagi aku tak mampu

Untuk ulang itu semua
Aku dah tak mahu

10.8.26

[516]

Kita jatuh dalam gaung yang sama. 
Tetap, patah dan luka-lukanya pada bahagian lain-lain. 

9.8.26

[515]

Duduk lah aku mematung memberontak diam
dalam gelung masa yang semakin sempit.