Showing posts with label rassa. Show all posts
Showing posts with label rassa. Show all posts

1.10.26

[519]

Penuh. 
Penuh dua-dua tangan.
Menimbun sampai tutup pandangan. 

Sepuluh jari semua penuh. 
Setiap sepuluh jari berderet menjinjing beban. 

Penuh. 
Jadi tak tahu nak lepaskan yang mana satu. 

Jadi tak boleh berjalan sebab satu langkah kaki, 
berlanggar dengan beban yang dijinjing. 
Jadi tak boleh berjalan sebab tertutup pandangan mata, 
terhalang dengan yang menimbun dalam tangan. 

Penuh. 
Tak boleh bernafas.

24.9.26

[518]

Bila kau menulis, kau tinggalkan jejak. 
Bukti untuk masa hadapan. 
Dan memori ketika kau menulis. 

Tulisan-tulisan kau bawa kau kembali pada masa lampau. 

Kau menulis untuk bantu keluar dari keadaan yang menyakitkan. 
Dan tulisan kau tadi juga bawa kau kembali merasa sakit 
setelah kau jauh maju ke depan. 

Ironinya. 

Kembali merasa sakit kerana engkau seorang sahaja yang tahu benar 
inti dibalik tulisan-tulisan kau dahulu.



Ah, aku patut lebih banyak tulis yang indah-indah. 

8.8.26

[513]

Ada banyak ‘tidak patut’ yang telah aku lakukan.
Tidak patut membentak contohnya. 
Atau tidak patut memenangkan emosi. 

(Menulis ini mungkin termasuk antara yang tidak patut) 

Cuma iya, ukuran tidak patut itu apa sebenarnya? 
Garis sempadannya di mana?

21.7.26

[511]

Seperti mana tulisan-tulisan kamu memeluk aku, memujuk dalam banyak-banyak hari sedih ku. Yang sama seperti itu juga ingin aku hadiahkan kepada kamu. 

Tetapi aku ini cuma antara debu-debu yang tak terlihat. 

Maka, aku mohon pelan-pelan, untuk kamu terus tumbuh dan kembali kuat.

17.6.26

[505]

Entah sejak bila, mula dari mana,
bayang insecurity diam-diam muncul. 

Dari cuma mengintai di hujung penjuru, 
sekarang sudah mula menyusur, 
cuba merapat bersatu dengan bayang aku sendiri. 

Dia belum pun selubungi aku sepenuhnya. 
Tetapi aku sudah cemas sebegini.

Tak boleh. Tak boleh.


10.3.26

[502]

Rupanya, 
Bukan kerana aku tidak tahu apa aku mahu. 
Tapi kerana banyaknya dosa yang berulang, 
dan luasnya pengharapan yang aku perlu. 
Yang membuatkan aku kaku tak tahu mana nak mula. 


“Ya Allah Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun 
dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah 
keampunan kepada kami.”


15.2.26

[496]

Aku bukannya asing, tidak tergolong di mana-mana. 
Aku bukannya istimewa begitu.

Aku hanyalah pohon semalu di tepi jalan. 
Berharap-harap ada daun kering jatuh, menutupi aku.

Kelihatan dipandangan mata, kemudian diendahkan. 

14.2.26

[494]

Kalih sana, kalih sini. 
Bagaimana ya, aku merasa asing begini?

Yang aku biasanya rasa, itu lah aku, 
terasa terlalu luar biasa. 
Luar jangka. 
Terlalu, 
jauh.

Betul agaknya kata kakak dulu;
-- anak yang merasa asing di lingkungan sendiri
-- merasa seperti tidak tergolong di mana-mana

Aku masih yang itu. 
Merasa asing seperti tidak tergolong di mana-mana.

23.1.26

[490]

Kemarin ke, aku tulis pasal kuat lemah jatuh bangun. 
Yang kita kena sedar kena terima, hidup kita memang itulah. 
Memang ada masa kita kuat, ada masa kita lemah. 
Dan kita kena lawan sampai lah kita dah mati esok. 

Bila aku cakap macam tu, 
bukan lah kata, masa tengah lemah tu, 
kita kena ha.. pasrah je lah.. dah memang nature. 

Tak gitu. 

Tapi nak sedar, sedarkan diri aku ni. 
Bila satgi aku jatuh, rasa kat bawah sangat, aku kena cepat usaha bangun. 
Bukan layan lagu sedih cam biasa buat. Ehek. 

Dan, bila tengok balik masa lampau. 
Blog ni, yang dah usia 15 tahun, 
sini tempat yang paling banyak jadi saksi aku jatuh. 
Yang paling tahu buruk aku. 
Yang berulangkali aku tulis, “aku kalah lagi”. 

Aku tak kuat mana. 
Belum pun. 
Aku jauh sangat dari kuat. 

Tapi, aku nak cuba. 
Kali ni, aku nak cuba betul-betul. 

Walaupun kena lawan sampai mati, 
tapi aku nak cuba untuk kuat, bangun dan diri kat atas lama sikit.  

Dan moga nya, 
bila aku dapat rasa kat atas lama sikit tu, aku tak lupa pandang bawah. 
Aku tak lupa aku pernah jatuh, dan akan jatuh terduduk lagi. 

20.1.26

[489]

Menjadi kuat bukanlah semudah makan biskut Tiger.

(Aku betul-betul dah cuba elak untuk mula dengan ayat atas ni tapi, aku tak cukup kuat) 

Begitulah. 

Kuat. Aku tak rasa aku kuat. 
Aku ni pengecut. Seperti selalu aku katakan. 

Aku yang tahun lepas, dan tahun-tahun sebelum, itulah yang aku rasakan. 
Yang, aku tak kuat. Aku cuma acah-acah kuat. 

Tapi, dari acah-acah kuat itulah yang telah menjadikan aku yang sekarang. 
Mungkin belum sempurna kuat tetapi setidaknya, 
aku dah mula bersangka baik dengan diri aku, yang aku mampu untuk kuat. 

Kuatnya aku yang hari ini, 
terbina daripada acah-acah kuat aku. 

Dan, benda ni semua tak akan berlaku, tanpa kekuatan yang Dia salurkan. 
Aku tak akan ada kekuatan, tak akan ada daya, tanpa Allah. 
Aku tak akan kuat, tanpa doa yang dimakbulkan. 
Bukan doa dari aku seorang tetapi doa-doa orang sekeliling aku, 
stranger, yang aku tak tahu siapa, 
yang Allah pilih untuk makbulkan. 

Aku pernah tulis tentang, betapa perang jiwa itu benar-benar halimunan. 
Sebab kita tak dapat jangka banyak. 
Sekejap ni kita rasa kita kuat, kita dah menang. 
Saat kemudian, kita lemah dan kita kalah. 

Baru ni ada kelas tentang mujahadah. 
Dan kita sebenarnya, memang akan berperang pun 
melawan nafsu sampai lah kita dah mati. 

Sebab tu, kita akan sentiasa saja rasa, 
kejap kita kuat, kejap kita lemah. 

Pada saat aku menulis ni, aku rasa aku tengah kuat. 
Esok lusa, aku tak tahu. 
Tapi sekurang-kurangnya, 
aku dah tahu nak buat apa bila aku tiba-tiba rasa tak kuat. 

Berbalik pada Dia. 
Tempat asal segala. 

--

Sedar dan akui kita lemah, itu kuat. 
Mengaku kita kalah dan salah, itu kuat. 
Memohon dipinjamkan asa, itu kuat. 
Meminta dihulurkan tangan, 
untuk kita bangun semula, 
itu juga kuat. 

Kita tak boleh kuat seorang-seorang, 
tapi untuk mendapat kuat itu awalnya perlu dari kita seorang. 


2026; untuk lebih percaya pada diri, untuk lebih bersangka baik dengan Tuhan.


26.10.25

[486]

Aku tak tahu apa yang aku nak.
Jadi tak hendak akan apa-apa. 
Apa-apa jadi tak ada makna. 

Jadi, aku perlu cari apa yang aku tak nak. 
Dan mula doa aku tak dapat apa yang aku tak hendak. 


6.9.25

[485]

Tercicir. 
Terlepas. 

“Ter-” bukanlah imbuhan yang sepatutnya ada. 
Bila aku sendiri tahu, aku sendiri sengaja. 


Aku tenggelam lagi. 
Aku hilang lagi. 

1.4.25

[481]

Ada 487 tulisan. 
Satu per tiga daripada nya aku anggarkan tentang kegembiraan, inspirasi, harapan dan hari-hari yang baik. 

Jika anggaran aku dianggap tepat, 
Dalam 5,195 hari aku (bermula dari hari aku mula menulis),  
Hanya 325 hari aku menulis tentang kesedihan, kecewa, patah hati, putus asa dan hari-hari tidak baik. 

Tak sampai satu tahun pun jumlahnya. 
Lebih berat timbangan kegembiraan daripada kesedihan. 

Tetapi, kenapa kurang benar aku bersyukur? 

28.3.25

[480]

Sebelum tahun lepas, aku tak pernah letak azam. Tak pandai. Tak tahu nak azam apa. Tak yakin dengan diri sendiri. 

Tapi tahun lepas, aku letak azam. Aku rasa, azam kenalah sesuatu yang aku boleh kawal. Azam aku bukan sesuatu yang jadi sekali dan mengubah kehidupan aku keseluruhan nya. Tetapi azam aku sesuatu yang berlaku berulangkali, yang mengubah aku yang dahulu menjadi yang sekarang. 

Tahun lepas, aku letakkan azam untuk tak membeli apa-apa yang bukan keperluan. 

Aku nak sangat berterima kasih pada orang yang awal-awal bangkit kan hal ni. Tentang, ke mana pendapatan, rezeki yang kita terima daripada Allah, disalurkan. Sebab nanti setiap hasil yang kita terima, akan disoalkan ke mana belanja nya. 

Jadi aku mula azam. Mula kawal dengan tidak membeli apa-apa merch IU atau Mamamoo. Minat aku. Untuk tak pergi konsert lagi. Menghabiskan duit ke situ. Sebab sebenarnya sebelum-sebelum ini pun, aku tahu saja, benda tu jatuh dalam salah satu benda yang melalaikan. Jadi aku mula dari situ dahulu. 

Kemudian perlahan-lahan kawalan kepada benda lain, macam buku. Atau baju. Benda yang aku mungkin tak akan guna. Buku, ada berapa banyak buku aku beli tahun 2021 yang aku tak baca lagi. Yang aku pun taktahu bila aku akan baca. Jadi aku cuba kawal semua itu. Azam aku adalah itu, nengawal perbelanjaan aku. 

Setakat ini aku berjaya capai azam aku. 

Dan untuk tahun ini, aku letakkan azam lain. Azam yang aku seorang saja tahu. Setelah 3 bulan, aku berjaya. Azam tahun ni masih dalam kawalan aku. 

Dan sebabnya aku tulis di sini, semoga tulisan aku ini menjadi saksi, betapa aku usaha untuk kawal. Dan betapa aku perlukan sangat-sangat bantuan Allah untuk aku terus kekalkan azam aku ni sampai bila-bila. Sampai aku mati. 

Untuk kemudian hari yang aku tak pasti, aku mohon dikuatkan aku. 

23.3.25

[479]

Apabila dengan hanya tempias sudah sesakit ini, lebih dalam sakitnya yang menerima tujahan secara langsung. 

Kecederaannya pasti lebih rumit untuk sembuh kembali. 

Aku tahu itu tapi tetap aku hendak memenangkan aku. 

Ah rumit sekali.

16.3.25

[477]

Rasa penyesalan kala usia 15, yang sehingga basah  kertas tulisan pengakuan ku kerana air mata menitik tak henti; kembalikan kepada aku. 

Rasa manis tenangnya jiwa raga ku ketika usia 20, kala aku keseorangan tiada teman dalam kebanyakan masa; kembalikan kepada aku. 

Rasa penyerahan dengan setulus penyerahan atas apa yang Engkau lakarkan bukan hanya untuk aku tetapi untuk orang-orang sekeliling aku ketika aku 30; kembalikan kepada aku. 

Kembalikan kepada aku. 
Izinkan aku merasakan semua-semua itu lagi. 

Supaya aku tahu. 
Aku tahu yang aku sedang berada dekat dengan Mu. 
Aku ingin berada dekat dengan Mu. 

18.2.25

[475]

Banyak yang telah aku hilang. 
Hilang memori kecil-tidak penting, aku terima lagi. 

Tapi apabila aku turut hilang empati, aku jadi tak senang. 

Lagi-lagi apabila hilang empati pada Dua Syurga. 

Salah, aku tahu. 
Tapi bagaimana cara untuk aku wujudkan rasa itu kembali?


17.1.25

[471]

Pabila tidak dihadapanmu, 
aku bayangkan, 

Ah, bagus sekali dapat memelukmu. 

Kejap. 
Kejap lagi. 
Lama lagi. 
Peluk kejap dan lama lagi. 

.
.
.

Tapi iya, itu semua dalam bayangan. 

Bukan kerana tidak mampu. 
Mungkin kerana tidak mahu. 

Atau iya, seperti selalunya aku. 

Pengecut.

10.1.25

[467]

Aku lupa tarikh sebenar. 
Tapi kita dah 14 tahun, kan? 

Seperti tiada apa yang berubah.
Tetapi terlampau banyak yang berubah. 
Aku masih menulis tentang kekecewaan. 
Sedikit tentang perkara-perkara yang indah. 

Aku mula menerima (atau belajar menerima). 
Tidak mengapalah jika banyak yang ditulis 
hanyalah tentang hal-hal yang mengecewakan. 
Kerana, hal-hal yang mengecewakan adalah perasaan 
yang sering aku pejamkan mata dan diamkan daripada bicara.  

Jadi, sini sajalah tempat untuk 
hal-hal mengecewakan itu terasa, hidup. 
Terasa bernafas. Terasa diambil-peduli. 

Untuk 14 tahun sebelum. 
Dan 14 tahun akan datang (mungkin). 

Terima kasih untuk 14 tahun sebelum. 
Selamat ulangtahun :) 


9.6.24

[458]

Aku tidak lagi menunggu Laila ku. 
Telah lama tidak. 

Laila ku bukan lagi kerinduan ku. 
Bukan lagi malam yang selalu aku nantikan. 

Dia kini hanyalah satu kegelisahan. 
Kerisauan. Keresahan. 

Malam yang aku tidak lagi selesa 
bersembunyi dalam gelapnya. 
Yang aku mohonkan sekarang, 
dilepaskan aku daripada dakapan nya.

Laila ku, lepaskan aku.