[201]

ini perkongsian. aku pernah cerita dalam blog juga dahulu tentang bagaimana aku nak berubah pakai tudung labuh baju longgar tutup aurat dengan sempurna semua. dan ini, cerita yang sama juga. cuma lebih terperinci, mungkin.

dan entri ini untuk satu peraduan sebenarnya [klik sini].

------------------------

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [An-Nur: 30]

            Dahulu, aku pernah belajar tentang aurat. Tahu yang menutup aurat itu hukumnya wajib. Menutup aurat bukan menutup kepala atau ‘membalut’ tubuh. Tahu tapi tidak lakukan. Sedangkan caranya tentang menjaga aurat dengan sesempurnanya telah diberitahu sejak lebih 1400 tahun dahulu lagi. Dalam Al-Quran. Salah satunya dalam Surah An-Nur ini. Dahulu, tak rajin baca tafsir. Jadi tak faham. Dan hanya ikut bulat-bulat apa yang diajarkan. Tak hayati. Dahulu, beberapa tahun lepas.

Untung aku dipilih sambung belajar di tempat pengajian aku sekarang ini. Hasil Minggu Destini Siswa mungkin, aku ingin tahu banyak. Ingin tahu banyak tentang Islam lebihnya. Hanya dengan bersebabkan, cara penampilan kakak-kakak fasi yang aku nampak bahagia.

“Apa kakak ni semua tak ada rasa panas, rimas ke? Aku yang pakai tudung macam ni saja pun , kadang-kadang dah rasa panas rimas semua.”

Itu, apa yang pertama kali terlintas di hati aku. Ya, aku yang dah bertahun pakai tudung bidang 45 ini saja pun kadang-kadang ada rasa panas dan rimas. Bagaimana mereka, kakak-kakak fasi itu semua boleh pakai tudung labuh bidang 60 - berlari-lari ke sana ke mari - menguruskan kami-kami pelajar baru ini saat panas terik, terlihat bahagia? Bahagia di dalam ketenangan sebegitu?

Sungguh! Aku kagum.

Tapi aku masih aku. Yang kagumnya sementara. Yang kagumnya cuma kagum begitu tanpa ada rasa mahu buat apa-apa. Aku masih belum ada rasa nak nampak bahagia macam kakak-kakak fasi itu semua.

Dan Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengasih. Sesungguhnya, Dia sangat baik terhadap hamba-hambaNya.

Masuk semester kedua, hati aku dilembutkan Dia. Sekali lagi aku dapat melihat bahagia. Pada riak wajah kawan-kawan sekeliling aku. Tanpa mereka tahu, mereka bertiga telah menjadi sebab hati aku menjadi lembut. Seorang lelaki dan dua orang perempuan. Dua orang bekas kawan sekolah dan seorang kawan sekelas aku di universiti (sekarang dia naqibah saya. Alhamdulillah).

Bekas kawan sekolah aku yang dua orang itu, aku tahu dahulu mereka orangnya bagaimana. Tidak lah jahat sangat, tapi mereka bukan seperti mereka yang sekarang. Yang perempuan, kawan baik. Yang lelaki, kawan bas sekolah.

Bila aku melihat perubahan besar dan penuh makna yang mereka lakukan, sungguh aku mengucap panjang. Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah! Tiada kata lain.

Yang perempuan sudah pakai tudung labuh. Yang lelaki, statusnya di laman Facebook, semuanya tentang Islam. Tentang keindahan Islam. Berkongsi ilmu tentang Islam. Aku tidak tahu orang lain – kawan-kawan kami yang lain, tapi aku, sungguh aku menangis. Menangis dalam hati sambil tersenyum. Bahagianya mereka... Subhanallah!

Hati aku dah cair.

Hati aku bertambah cair bila selepas balik dari bercuti Tahun Baru Cina tahun lepas, aku lihat kawan sekelas aku yang seorang ini sudah pakai tudung labuh – baju longgar. Tertutup sempurna. Aku tak rapat pun dengan dia. Cumanya, sebelum cuti dia pernah bagitahu aku, yang dia teringin untuk pakai tudung labuh tutup aurat dengan sempurna. Dia kata, dia jadi lembut hati nak berubah sebab arwah nenek dia yang baru lepas meninggal di Mekah. Dia rasa terpanggil. Nenek dia memang ada banyak tudung labuh. Aku pun tak tahu kenapa hari itu, aku boleh balik dari kelas sama-sama dengan dia, dan dia pun suarakan keinginan dia pada aku.

Sungguh! Aku kagum. Untuk kedua kalinya.

“Dan kali ini, tak akan aku nak lari lagi? Allah dah ketuk pintu hati, tak akan aku tak nak buka? Tak akan aku tak nak sahut? Nak tunggu berapa lama lagi? Kalau umur panjang, kalau tak?”

Diam-diam, perubahan yang mereka bertiga lakukan menjadikan aku yang sekarang. Sebelum mereka bertiga, sebenarnya ada lagi manusia-manusia lain. Manusia yang aku tak kenal pun mereka dan mereka tak kenal pun aku. Manusia-manusia yang Allah turunkan untuk ketuk hati aku. Berkali-kali. Tapi aku, selalu abaikan.

Kali ini, bersama dengan dua orang kawan universiti aku, kami berubah. Untuk jadi lebih baik. Baik bukan hanya pada pandangan manusia, tapi pada pandangan Pencipta.

Betapa baiknya Allah. Tiada halangan buat aku. Tidak seperti orang lain, contoh kawan sekelas aku yang tadi tu, keluarga dia pada awalnya membantah keras dengan perubahan pada penampilannya. Tapi aku, keluarga aku dapat terima. Alhamdulillah! Dan aku juga, ada kawan untuk harung sama-sama. Ada kawan untuk berubah sama-sama. Bukan seorang, tapi dua orang lagi. Ya Allah!

Kami bermula perlahan-lahan. Tidak terlampau drastik. Bermula dengan memakai stokin dan sarung lengan. Selepas itu, saling belanja beli t-shirt labuh dan longgar. Satu dua helai. Beli tudung labuh bidang 50 dahulu sehelai warna hitam. Kemudiannya, mengubah penampilan luaran sehingga jadilah kami yang macam hari ini. Ya, perubahan ini ambil masa berbulan. Boleh jadi bertahun. Bukan sehari dua.

Ada orang kata, buat apa pakai tudung labuh baju longgar tapi perangai tak semenggah? Ada orang kata, pentingnya yang di dalam bukan apa yang dilihat di luar.

Betul. Aku setuju juga dengan cakap-cakap orang itu.

Tapi bila dah memakai tudung labuh, aku rasa terjaga. Terasa seperti aku terlindung. Terlindung dari melakukan perkara yang tidak tidak. Jadi tidak lepas laku. Sebabnya, aku jadi segan. Sebabnya, aku tahu macam mana orang lain pandang pada orang yang pakai tudung labuh ini. Pandangan sebahagian orang pada perempuan yang bertudung labuh ini;

Perempuan tudung labuh = banyak ilmu agama = tak boleh ada salah silap.

Aku tahu, sebab dahulu aku sebahagian daripada orang yang memandang. Pandangan ini salah.

Sebenarnya, manusia ada kekurangannya. Ada keburukannya. Tidak sempurna. Dan perempuan yang bertudung labuh  adalah manusia. Tak lepas dari melakukan kesilapan. Tapi, dengan penampilan yang sebegitu, menjadi ‘teguran’ buat diri sendiri.

Jadi lebih malu. Malu untuk buat benda yang tak baik.

Sehingga ke hari ini, walaupun aku dah upgrade sikit dengan memakai tudung labuh bidang 60 berpin, aku masih manusia. Yang tidak lepas daripada melakukan dosa. InsyaAllah, dari sehari ke sehari, akan diusaha untuk menjadi yang lebih baik dari yang semalam.

Semua orang, dalam doanya, terselit satu harapan untuk menjadi yang lebih baik daripada semalamnya. Dan doa pasti temannya usaha dan tawakal.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”[Ar-Rad:11]

Ada orang, memilih untuk berubah dengan memperbaiki hati dahulu baru penampilan luaran.

Ada orang, memilih untuk berubah dengan memperbaiki penampilan dahulu baru hatinya.  

Dan ada orang, memilih untuk berubah dengan memperbaiki kedua-duanya sekali gus.

Bagaimana pun pilihannya, arah tuju tetap sama. Untuk dapat keredhaan Allah SWT. Untuk jadi lebih dekat dengan Dia. Untuk capai Syurga-Nya.

Selagi diberi peluang bernafas, selagi itu ada terbentangnya pilihan. Pilihan untuk merancang kehidupan yang bagaimana. Bukan untuk di sini sahaja, tapi untuk kehidupan yang di Sana utamanya. Belajar merancang hidup dan belajar yakin walau apa pun, semuanya atas kuasa Dia.

Sungguh, perancangan dan peraturan Allah itu yang paling-paling indah. Dan sungguh, hati kita bukan milik kita. Pemilik hati cuma Dia, Allah Maha Pencipta.

Ya, hati kita bukan milik kita. Tapi kita, tak nak usahakah supaya hati itu jadi cantik untuk dipulangkan pada Pemiliknya?

-----------

sekali lagi. untuk mereka mereka yang dah bantu aku tanpa mereka sedar, semoga sentiasa di dalam redha dan lindungan Allah. terima kasih. sungguh.


Comments

Aisyah Sharif said…
tiba2 teringin pulak nak jumpa awk. :)
tufah. said…
insyaa Allah, satu hari nnt.
dan sebenarnya, saya dah rasa syukur sangat dapat 'jumpa' awak dekat sini :)
Aisyah Sharif said…
Saya pun. ^^

Popular posts from this blog

[170]

belon terbang