[304]
Catatan ini ditulis pada malam terakhir di Baitullah Haram.
Untuk setiap memori aku di sini, aku minta agar ia nya tetap kekal hingga ke akhir hayat. Untuk setiap kebaikkan yang aku terima di sini, aku tidak mahu lupa pada tiap tiap satunya.
Aku tidak mahu lupa pada wanita Turki (aku kira), yang berpaling ke belakang, perasan akan aku yang duduk di atas lantai sejuk, menunjuk tempat agar aku beralih duduk di atas karpet untuk solat Subuh.
Aku tidak mahu lupa pada cleaner lelaki dari Indonesia, yang memberi salam ketika kami baru pulang dari solat Zuhur, dan sebaris ayat nya ini benar benar menyedarkan kami, "Kawan kawan di Malaysia bayarannya lebih lumayan berbanding di sini buk. Tetapi di sini ibadatnya dapat lebih". Allahu. Dia lagi memilih untuk dekat dengan Mu.
Aku tidak mahu lupa pada raut manis Safina, gadis 20 tahun dari Malaysia yang sudah 2 tahun belajar di Jordan, (selama itu lah jugak dia belum pernah pulang ke Malaysia), kerana sifat berani nya dia menegur ibu ku, bersembang sebentar menunggu Asar (dan aku masih dengan malu malu ku).
Aku tidak mahu lupa pada wanita Turki (aku agak lagi), yang menawarkan aku berbaring di atas riba nya, kerana aku sudah terlentok sekejap bersandar di kaki ibu sambil menunggu Maghrib.
Aku tidak mahu lupa pada wanita Turki (kali ini aku pasti benar), yang berdoa agar doa doa dia dan aku dimakbulkan Tuhan. Aku rasa itu maksudnya dia kerana dia berbahasa Turki.
Aku tidak mahu lupa pada wanita yang memegang kepala aku ketika sedang berdoa di hadapan multazam. Pada wanita Tibet yang murah senyuman bersembang dengan bahasanya dan kami dengan bahasa kami. Pada wanita Arab yang menawar air segelas. Pada wanita wanita yang berganjak memberi ruang agar aku dapat menyelit sedikit memenuhi saf. Kerana kita semua, ya kita semua hendak menghadap Allah Yang Maha Kuasa bersama sama.
Untuk setiap kebaikkan yang aku terima di sini, aku tidak mahu lupa pada tiap tiap satunya. Tempat yang baik bersama strangers yang baik baik. Terasa lain benar menerima kebaikkan daripada sang strangers. Kerana kita tahu, itu adalah pertemuan yang pertama dan terakhir.
Salam 'Alaik buat kamu kamu sang strangers. Semoga Allah memberi 10 ganda kebaikkan atas setiap kebaikkan yang kamu lakukan.
Comments