24.12.18

[332]

Aku menyimpan rahsia di dalam ingatan.
Aku memikul amanah di atas bahu.
Tapi kenapa dada aku yang berasa penuh?

Dada aku penuh.
Perut aku sebu.

Aku ingin meluah segala.
Tapi mulut aku terkatup.

Aku ingin mengisahkan cerita.
Tapi cerita ini rahsia.
Cerita ini amanah,
tidak boleh dipecah.

Lalu, bagaimana?
Jika tidak dikisahkan
bagaimana aku hendak bertemu penamat?

Cerita ini rahsia.
Cerita ini amanah.
Tidak boleh dipecah.
Tidak boleh dikisah.

Tapi sungguh.
Aku sudah penat menanggung seorang.

[331]

Aku menyimpan begitu banyak rahsia.
Rahsia yang menjadi amanah.

Aku memikul begitu berat amanah.

21.12.18

[330]

Dua minggu akan datang, blog ini usianya bakal genap lapan tahun. Lapan tahun menjadi teman aku. Dia saja yang tahu aku (walaupun bukan semuanya kerana pada dia juga aku tetap berahsia). 

Tempat aku menulis segala.

Sebetulnya tahun ini, sudah sepuluh tahun aku menulis. Menulis segala. 

Awalnya, memang aku bercita menulis dengan pengharapan ada yang membaca. Menulis untuk berkongsi. Berkenalan dengan lebih banyak penulis lain. Dan aku terus menulis setelah aku terima emel ini.


Tetapi rupanya aku ini, sebenarnya masih sang anak kecil yang mahu menyorokkan jiwanya.

Aku buang blog lama, aku hidupkan blog ini. Aku menulis untuk jiwa aku. Aku menulis kerana aku.



Dan aku memilih untuk terus menyorokkan jiwa aku.

20.12.18

[329]

Rupanya, walau setelah sekian lama
aku masih memerlukan kamu.

[328]

Kadang kadang, ianya bukan sangat mengenai jawapan yang awak mahu dengar. tetapi lebih kepada soalan tepat yang awak patut tanya.