2.3.22

[410]

Meski tapak tangan merah melecet 
Meski kulit tersiat kerana mencuba 
menggenggam erat tali 
Meski sebegitu rupa kesakitannya

Jangan biarkan aku jatuh ke gaung 
Jangan diputuskan tali membuatkan
aku jatuh ke gaung 

Meski ketika kelihatan daya telah tiada 
Jangan dibiarkan aku terlena

24.2.22

[409]

Tired being myself. 

Penat masih di takuk lama. 
Penat masih tidak  berganjak. 
Penat kerana usahanya masih tak ada. 

Masih cepat penat. 
Masih tak ada semangat. 

Penat ulang benda sama, 
dan masih menjadi yang sama. 

Penat cuba bangun - berjaya sekejap, 
dan jatuh semula. 

22.1.22

[408]

Mungkin, aku yang belum bersedia. 

Atau sebenarnya, aku yang tidak mahu? 
Sebab itu aku tidak meminta. 
Sebab itu aku tak pernah bersungguh. 

23.11.21

[407]

Anak kecil dahulu yang tidak segan menangis di hadapan orang,
kini menjadi dewasa yang senyap-senyap menyembunyikan tangisannya.

Dan, anak kecil yang dahulu sembunyi-sembunyi menangis di belakang pintu,
kini menjadi dewasa yang air matanya mengalir tiba-tiba tidak tertahan,
tidak hirau mana jua dia berada.



Semoga, sebanyak mana air mata yang mengalir,
sebanyak itulah juga kebahagian yang kita punya.

19.9.21

[406]

Aku ini masih seperti anak kecil 
yang mahukan pelukan ibunya 
yang mahu dicium ubun-ubun 
sambil dibacakan doa-doa 

Aku ini masih seperti anak kecil 
yang merajuk kerana tidak diberi mainan 
tetapi sekejap cuma bila ibunya 
tersenyum dan berjanji, 
"Lepas gaji, kita beli ya?" 

Aku ini orangnya mudah 
hanya perlukan ibunya disisi 
walau cuma dengan senyuman tanpa kata 
dunia aku sudah menjadi seperti 
taman berbunga indah 
kuda putih berlari-lari 
burung bernyanyi 
dan bunga api meletup marak 

Aku ini wanita dewasa 
yang masih dan sentiasa 
perlukan ibunya